Cinta Kedai Buku

Hari ini aku pergi ke satu kedai buku ternama yang terletak juga di dalam pusat membeli belah ternama yang baru dibuka. Pergi aku dengan seorang kawan, kawan yang tinggal hanya beberapa kilometer dari rumah, duduk berhadapan ketika di sekolah dan juga belajar di universiti yang sama. Dan bila aku sebutkan 'kawan' automatik jantinanya ialah lelaki. Pantang lelaki berimej ganas seperti aku ni berkawan dengan perempuan. 
 
Masuk-masuk ke kedai buku, aku pun mula mencari buku. Takkan lah pula aku nak mencari sayur di situ. Kawan yang seorang ni nak mencari fail. Aku biarkan dia dengan urusan fail. Nak dekat 10 minit aku mencari, tak jumpa-jumpa juga tajuk buku yang dicari. Akhirnya aku menyerah kalah dan terus mencari petugas kedai yang berhampiran.
 
"Dik, saya nak buku tajuk _______ karangan ______. Ada lagi tak? Pasal saya cek ikut internet tadi masih ada stok," tanya aku dengan lembut. Ajaran mak aku supaya berlembut ketika meminta pertolongan aku simpan elok-elok dalam kepala. 
 
"Haa. Saya rasa ada lagi buku ni dekat dalam stor tu. Abang tunggu sini kejap, saya pergi cari dekat dalam stor tu ye", balas petugas kedai itu juga dengan lembut. Ajaran mak aku nampaknya membuahkan hasil. 

Aku tunggu. 
 
Dan tunggu.
 
Dan menunggu lagi.
 
Rasa jemu sudah melutut dalam dada aku. Lamanya menunggu urusan di kedai buku yang satu ini. Lambatnya tidak main-main. Lambat yang sejati. Lambat yang tidak kenal malu. Lambat yang cukup padu. Sudah hampir 35 minit aku di situ dan selama itu jugalah aku duduk membelek buku yang lain dengan wajah resah dan terburu-buru.

Menunggu dan terus menunggu sehingga, aku perasan ada seseorang di belakang. Seseorang berada di belakang anda ketika berada di kedai buku adalah perkara normal. Tidak ada apa-apa sebenarnya. Cuma yang pelik, telefon bimbitnya berdering. Dering yang menyatakan itu telefon bimbit keluaran tahun 2004 ataupun 2005. Terlalu jauh ketinggalan zaman. Itu yang pertama datang dalam fikiran aku, namun pada ketika aku mendengar suaranya berbisik menjawab telefon, aku terdiam.

“Ya, ibu. Ibu jangan risau, Kejap lagi Along pegi bank. Nanti Along masukkan duit ke akaun adik. Ibu jangan risau.”

Suara itu, suara perempuan yang taat. Itu agak-agak aku. Ikutkan hati, nak juga aku berpaling dan melihat wajahnya tetapi aku kukuhkan hati, kerana khuatir juga aku nanti terlihat sebagai lelaki yang dikata - “Amboi, mata bukan main lagi”. Ya, sangat khuatir.

“Ibu tak payahlah nak masukkan duit ke akaun adik. Ibu simpan duit ibu. Jangan risaukan adik-adik, Along akan jaga diorang semua.”

Pada kali kedua mendengarkan suara perempuan itu, datang anggapan kedua aku, dia adalah perempuan yang bertanggungjawab. Dan jarak aku dengan perempuan itu sengaja aku rapatkan, dalam jarak yang masih lagi munasabah supaya semakin jelas aku dapat mendengar kata-katanya.

“Along baik-baik je ibu. Ibu jangan risau. Ibu yang jaga diri. Nanti Along masukkan duit ke akaun ibu juga.”

Aku tahu mendengar curi itu bukan perbuatan terpuji, tetapi entah mengapa nada suara perempuan di belakang itu, yang langsung aku tidak nampak wajahnya itu, terasa memberikan sesuatu kepada hati. Dan pada kali ketiga aku mendengarkan suaranya, aku beranggapan bahawa dia perempuan yang berdikari dan penuh harga diri.

“Ibukan bercita-cita pergi Mekah. Setakat jualan tudung-tudung ibu, mana cukup. Lagipun Along dah berjanji kepada ibu, mahu menghantar ibu ke Mekah.”

Pada kali keempat aku mendengarkan suara perempuan itu, aku tahu dia adalah perempuan yang menjaga agamanya. Hati aku pada ketika itu sudah lupa pada masalah menunggu lama di kedai buku itu. Terdetik hati aku, biar lebih lama begini dan aku suka. Suka pada perkara yang saya tidak tahu puncanya. Dan petugas kedai itu yang awalnya aku rancang untuk lempang habis-habisan akan aku belanja Kenny Rogers yang berada di tingkat bawah pusat membeli belah tersebut.

“Ibu, minggu depan Along balik. Along pun sudah rindukan ibu. Itulah, Along nak ibu tinggal sekali, ibu tidak suka. Hari-hari Along asyik teringatkan ibu.”

Pada kali kelima, aku terus beranggapan, perempuan ini adalah keturunan yang baik-baik, yang dijaga dan dididik oleh ibunya dengan penuh kasih, sehinggakan kata-katanya terdengar begitu lembut dan tidak dibuat-buat.

“Ya, ibu. Along tahu ibu sayangkan Along. Along pun sangat sayangkan ibu. Tetapi demi adik-adik, Along perlu berkorban. Doakan sahaja, semua ini tidak lama. Ibu jagalah diri baik-baik dan jangan risaukan jodoh Along. Along akan punya keluarga juga selepas ibu tidak lagi risau dengan masa hadapan adik-adik. Namun buat masa ini, biarlah Along tanggung semua risau ibu, kalau tidak semua, paling kurang biarlah Along berkongsi risau itu, kerana ibu sudah risau sejak hari pertama ibu tahu mengandungkan kami.”

Pada kali keenam mendengarkan suara itu, aku mula beranggapan, bukan lagi kepada perempuan itu, tetapi kepada diri aku. Celaka. 
 
Aku sudah jatuh hati. Hanya untuk perbualan yang tidak sampai tiga minit, aku sudah jatuh hati kepada perempuan yang aku langsung tidak nampak wajahnya dan berada di belakang aku?

Lalu pada ketika aku nekad mahu berpaling, datang pula petugas kedai memanggil. Sekali lagi celaka. Lebih besar punya celaka. Bergegas aku ke kaunter sambil kepala mencari akal, atas alasan apa mahu berpaling ke belakang? Mahu berpaling dengan membuat aksi leher lenguh? Itu sudah terlalu basi. Aku lebih rela mati dari melakukan sesuatu yang basi. Perlu suatu aksi yang lebih daripada sekadar itu bagi memberikan impressi pertama yang baik.

Ketika urusan jual beli selesai, dan aku berpaling perempuan itu pula sudah tidak ada di tempatnya. Mata aku mula meliar ke sana sini mencari siapa perempuan yang aku sudah jatuh hati kepadanya. Sayang, aku cuma kenal suaranya, kenal peribadinya, kenal kisahnya tetapi tidak kenal wajahnya.

Hidup memang selalu begini, yang terbaik selalu datang pada ketika kita malu berpaling ke belakang, dan pada ketika kita sudah berani berpaling, ia hilang dan hanya meninggalkan sesuatu dalam kepala untuk difikirkan pada setiap malam.
 
Selepas itu, aku kembali ke kaunter, karate mesin duit dan kembali melempang petugas kedai.