Saya, Islam dan Budaya

Budaya itu adalah satu benda yang sukar difahami. Sukarnya ia untuk difahami atas sebab kepelbagaiannya di serata dunia. Yang A dengan budaya A, yang B dengan budaya B, masing-masing punya budaya sendiri. Walaubagaimanapun, salah satu cara mudah untuk memahami budaya dan manusia ialah dengan melihat tandas rumah anda semua. Ada tandas cangkung ada juga tandas duduk.

Budaya itu seperti tandas. Secanggih mana pun rekaan tandas, fungsinya tetap sama iaitu menjadi tempat pembuangan sisa tahi tubuh manusia. Juga berfungsi untuk melindungi kejelekan kita dari terdedah semasa melaksanakan urusan pembuangan sisa perut.Tidak pernah pula aku dengar ada tahi yang tiba-tiba menjadi wangi apabila dibuang di tandas yang canggih. Yang membezakannya hanyalah cara tandas itu berfungsi. Sama ada kita mencangkung atau duduk, terserah masing-masing.

Budaya juga begitu, segala macam budaya di dunia ini berfungsi untuk melindungi kejelekan manusia. Cuma bagaimana manusia itu melaksanakan budaya itu berbeza. Bagi orang Melayu, supaya terlihat sopan, maka budaya berkias-kias itu dijadikan sandaran. Bagi masyarakat Barat pula, supaya terlihat sopan santun, budaya berterus terang itu menjadi asas. Fungsinya tetap sama untuk melindungi kejelekan pada diri mereka yang masih punyai kesombongan dan kebongkakan. lalu budaya sopan santun itu di bina.

Persoalannya, untuk yang sering mengguna tandas cangkung, apabila sampai ke rumah yang menggunakan tandas duduk, maka harus dia mencangkung atau duduk? Jika dia mencangkung pada tandas duduk itu, pasti dilabel sebagai kurang ajar. Dan jika duduk di tandas cangkung pula, digelar bodoh.

Budaya juga begitu, jika Melayu ke Barat dan masih terus berkias-kias, pasti Barat melihat itu sebagai satu kebodohan. Jika Barat pula datang kedunia Melayu dengan budaya berterus terang mereka, dianggap pula kurang ajar. Lalu fungsi budaya tadi berubah sebaliknya. Tidak lagi melindungi kejelekan, malah mempamirkan kejelakan itu sendiri.

Untuk itu, budaya hanyalah terhad untuk melindungi kejelakan sesuatu golongan kaum manusia itu. Tidak ada budaya yang sempurna. Lebih malang untuk mereka yang tidak menjumpai budaya. Seperti mereka yang tidak menjumpai tandas, lalu dengan selamba membuang najis di dalam semak mahupun di sungai. Kejelekan itu tersebar jelas dengan baunya, berserta pakej hurungan langau hijau. Jelek.

Mujur, Islam itu hadir. Hadir bukan sebagai tandas yang boleh kita duduk, atau mencankung. Islam itu hadir sebagai panduan supaya kita bijak untuk menggunakan tandas. Jika duduk, harus duduk. Jika mencangkung, harus mencangkung. Jika tidak berjumpa tandas, harus dilindungi najis yang wujud itu dengan tanah atau daun-daunan.

Bermaksud juga Islam hadir supaya kita menggunakan segala bentuk budaya itu dengan bijak tanpa perlu prejudis. Tanpa mengangkat mana-mana budaya sebagai yang paling bagus.

Tapi Islam itu mengangkat manusia itu lebih bagus dari budayanya. Tanpa perlu terkongkong dengan segala macam budaya. Logiknya, Islam mengangkat kita manusia ini lebih bagus dari tandas tadi. Kerana manusia tidak harus terkongkong dengan budaya yang menjadikan mereka mundur. Seperti budaya malu-malu yang tidak bertempat yang menyababkan kita malas bertanya dan lebih kepada mengesyaki. Budaya mengintai pasangan berkhalwat juga di salah tafsir sebagai budaya yang bagus padahal ia adalah budaya membuka aib. Sedangkan Islam mewajibkan kita menjaga aib.

Sekarang, kalian jelas bukan? Islam itu hadir bukan untuk membudayakan manusia, tapi Islam hadir untuk memanusiakan budaya. Atas sebab kita manusia ini, lebih elok dari budaya. Jauh lebih elok.