Berbelanja di Kedai Cik Yah

Pada waktu itu, dalam poket seluar sekolah aku ada 16 ringgit. Lebihan dari wang hadiah kemenangan Kuiz Matematik di sekolah yang aku masuk pada minggu sebelumnya. Setelah membeli kaset kumpulan Scorpion dan beberapa ketul cekelat udang, masih terdapat baki sebanyak 50 sen di dalam poket.

Disebabkan itu, pada keesokan harinya aku pergi memecut ke kedai Cik Yah yang jaraknya hanya dalam 40 meter dari rumah aku. Pasal jaraknya hanya 40 meter, jadi tak perlulah sampai nak tahan teksi. Lagipun baru darjah dua, tak manis rasanya kalau aku naik teksi sendiri-sendiri.

Sepanjang perjalanan, fikiran aku betul-betul runsing. Puas aku memikir benda apa nak beli kat kedai Cik Yah ni. Sekejap-sekejap keluar bayangan keropok durian, sekejap-sekejap keluar Super Ring pulak. Sesekali menjelma sengkuang taruk kuah rojak kacang yang terletak di dalam balang. Warna kuning keropok Mamee pun kadang-kadang menerjah. Makin lama, makin tekak aku tak tenteram. Duit syiling 50 sen tu pulak aku genggam erat, bimbang kehilangan di tengah jalan.

Kedai Cik Yah sudah semakin hampir. Dari jauh aku dah nampak Cik Yah tersenyum lebar. Mak aku cakap Cik Yah ni kuat carik duit. Suami dah kerja gomen gaji besar, tapi nak jugak bukak kedai depan rumah. Aku tersenyum sendirian sambil memandang Cik Yah yang chubby dan berskarf putih itu. Masuk je kat area kedai Cik Yah tu, aku mula mencari-cari cekedis yang kena dengan selera aku. Satu-satu aku belek. Nasib baik Cik Yah sporting, tak tanya macam-macam.

Nak dijadikan cerita, aku terpandang satu gambar menarik di dalam plastik besar berisi kuaci cap bunga. Ada gambar kereta kontrol, wang tunai, gambar basikal, jam tangan Licorn, game boy dan macam-macam lagi. Bila tengok je gambar tu, aku jadi tak keruan.

"Haa, beli la kuaci tu. Untung-untung boleh dapat basikal baru." tegur Cik Yah sambil tersengih.

Dengar saja kata-kata Cik Yah tu, darah aku terus menaik. Aku terus sambar kuaci dua bungkus. Lepas bagi duit kat Cik Yah terus aku gigit buka kuaci tu sepantas mungkin. Braaahhh! Kuaci di dalam bungkusan habis aku curah ke dalam longkang. Aku ambil kad yang tertinggal di dalam plastik bungkusan kuaci tersebut. Pada kedua-dua kad itu tertulis,

'TERIMA KASIH'

"Kalau dia tulis terima kasih, maknanya tak dapat apa-apa laa..." tegur Cik Yah tersengih-sengih sambil membelah sengkuang untuk dijual nanti.

Baru darjah dua aku dah rasa macam pantang dicabar. Aku angkat lagi satu bungkus kuaci. Kali ni aku pilih-pilih sikit. Sambil tu mulut aku terkumat-kamit membacakan ayat-ayat lazim bagi menambah peluang kemenangan.

Seperti tadi, plastik kuaci tu aku gigit dengan penuh ganas. Berterabur kuaci aku simbah dalam longkang. Kad di dalam plastik itu pula aku terbalikkan dahulu. Sengaja aku nak kasi surprise. Bacaan ayat-ayat lazim makin laju aku baca. Aku dapat merasakan bahawa akan ada keuntungan kali ini.

"Haa dapat? Dia tulis apa?" tanya Cik Yah dengan penuh rasa ingin tahu.

Aku pusing kad perlahan-lahan.

 ***

'TERIMA KASIH'

***

Sejak hari tu, aku dah tak makan kuaci. Nampak je kuaci mesti aku rasa nak bagi berterabur dalam longkang.