Aku dan Proses Kemas Kini

Sudah lebih sebulan tanpa proses kemas kini. Bila aku tengok semula tarikh terakhir, dan melihat kepada tarikh hari ini, masa bagi aku sangat pantas berlalu.

Ada masanya, aku kebanjiran idea. Mencurah-curah, macam air hujan di Kota Kinabalu sekarang. Masalahnya ketika itu, aku sedang memandu. Atau sedang duduk di sebelah boss, yang sedang memandu. Senggang masa ketika idea itu datang ke saat aku berlapangan untuk menulis adalah terlalu besar. Ada ketikanya diselangi pelbagai rencah perisa, menterjemah surat, dokumen, laporan atau pun sedang memasak contohnya. Dan kemalasan. Akhirnya ia lesap.

Aku takut untuk menulis sesuatu yang busuk. Sesuatu yang dangkal. Tidak menghiburkan hati sendiri. Aku takut jika aku baca semula ia akan kelihatan lucu, tetapi tidak lucah. Aku bimbang jika ia kelihatan sangat mudah. Juga takut jika ia tidak langsung memberikan sebarang faedah, kepada diri sendiri jika tidak kepada orang lain.

Lagi pun aku tahu, orang yang baca blog aku ini hanya 10 orang. Cuma kadangkala aku rasa bersalah tidak dapat menghiburkan hati 10 orang pembaca itu.
 
Okay, aku akan menulis semula. Nanti. Bukan esok. Atau pun lusa.