Manusia Baik VS Manusia Jahat


Dalam dunia ini, ada dua jenis manusia. Satu jenis manusia yang baik, dan satu jenis lagi adalah manusia yang jahat. Fullstop. Khalas. Finito. Punktlich. Tidak ada di antara, atau pun hampir-hampir mahu pun yang menyamar. Cuma harus diingat, yang jahat tidak akan selamanya jahat dan yang baik juga akan ada kemungkinan untuk jadi jahat. Bagi yang menyamar baik, mereka adalah orang jahat, tiada yang ditengah-tengah. Hanya ada yang baik dan yang jahat.

Masa aku kecik dulu, dalam masjid Kampung Bendahara, ada sebuah almari berlaci yang menyimpan naskhah-naskhah Al Quran dan kitab-kitab agama serta pelbagai barangan lain milik masjid. Almari itu letaknya di kawasan mihrab yang boleh dikatakan agak luas. Setiap malam, masjid kami akan menganjurkan kelas-kelas pengajian agama. Sesudah selesai solat maghrib, budak-budak yang selesai mengaji Al Quran, akan duduk bersama dengan jemaah dewasa, mendengar buah butir kelas pengajian, walaupun tidaklah begitu faham.

Satu malam, masjid kami mengadakan kelas pengajian pengurusan jenazah. Ketika itu, tahun 90-an, mungkin belum ada lagi yang terfikir untuk menjadikan manusia hidup sebagai model, sebagai mayat untuk “dimandikan” dan “dikafankan” seperti hari ini. Orang-orang tua yang menjadi tonggak masjid kampung aku merasakan adalah tidak sopan untuk mengkafankan dan menyembahyangkan orang yang masih hidup. Mungkin.

Lalu, satu anak patung, (tahu anak patung?) yang biasanya menjadi permainan budak-budak perempuan, dan patung itu juga patung perempuan, telah dijadikan sebagai “alat bantuan mengajar”. Maka kami semua ditunjukkan bagaimana mahu memandikan jenazah, mengkafankan, serta meletakkan kedudukan mayat ketika solat jenazah. Boleh tak bayangkan bagaimana anak patung yang sebesar lengan mahu dikafankan? Tapi, pengajian secara praktikal itu, memang melekat di kepala otak kami, budak-budak, walaupun dalam situasi sebenar, mereka tidak pernah langsung meminta bantuan kami ketika mahu memandikan jenazah.

Baiklah, atas sifat ingin tahu, prihatin, atau pun mungkin kerana budak-budak memang suka menyibuk, kami akhirnya mendapat tahu yang anak patung itu disimpan di dalam laci almari, di mihrab masjid. Wah! Kalangan kami, ini menjadi isu yang sangat besar. Kaabah dikelilingi oleh patung-patung berhala ketika Nabi Muhammad s.a.w diutuskan, dan ia menjadi satu perkara yang perlu diubah, malahan patung-patung berhala ini telah dimusnahkan ketika pembukaan Mekah. Dan di sini, di masjid kampung Bendahara, kami semua sembahyang dengan di depan kami tersimpannya “patung”?

Kami cuba berdiplomasi dengan tok siak yang menjadi tenaga pengajar pengurusan jenazah, juga dengan pak imam serta nazir masjid. Rebel sungguh. Yang sudah sekolah menengah banyak sikitlah diorang punya hujah, aku yang masih 6 tahun dah nak masuk darjah 1 cuma bagi modal Ustazah Ummi bagitahu kita tidak boleh sembah patung dan Nabi Muhammad pun beribadat di Gua Hira’ ketika sekeliling Kaabah dipenuhi berhala. Namun tok siak, pak imam dan nazir sekadar tersenyum melihat kesungguhan kami semua sambil mengatakan “anak patung” itu sekadar “anak patung”, bukan menjadi simbolik untuk kita sembah ketika solat. Khalas. Finito. Punklitch. – Tapi kerana masih tidak puas hati, kami mengatur rancangan untuk “menculik” anak patung tersebut, lalu kami hantar dia menetap di dalam stor tempat menyimpan makanan. Tanpa dapat dikesan.

Lewat masa kini, satu dunia gempar dengan penayangan filem "Innocence of Muslims" yang mengguris berjuta-juta perasaan penganut agama Islam. Secara jujurnya, aku tak berapa nak amik pusing sangat dalam hal-hal sebegini. Malas nak beri reaksi. Malas serba-serbi. Haish. 

Aku kasi satu contoh yang rasanya cukup dekat dengan diri kita semua. Azman Jaafar main nama bapak Solihin Salim ketika di dalam kelas. Pasal nama bapak Solihin Salim kena main, jadi dia pun mengamuk tak tentu hala. Apakah reaksi Azman Jaafar? Takutkah? Adakah Azman Jaafar akan meminta maaf di atas perbuatannya? Nahh. Minta maaf kepala lutut. Komfem Azman Jaafar akan ketawa melihat reaksi Solihin Salim. Dan perbuatan ini akan diulangi lagi pada bila-bila masa yang Azman Jaafar kehendaki. Pembaca-pembaca sekalian, situasi di atas ini namanya provokasi. Provokasi itu dijalankan atas tujuan untuk menjadikan pihak yang diprovokasi mengeluarkan reaksi. 

Kesucian Nabi Muhammad S.A.W tak akan tercemar hanya dengan filem-filem sebegini. In fact, akan lebih ramai manusia non-muslim yang akan mencari-cari maklumat sebenar mengenai kisah sirah Baginda selepas peristiwa ini. Sama macam dengan masjid Kampung Bendahara. Tidak tercemar kesucian masjid itu dengan anak patung. Tapi, bila kami, kanak-kanak kecil ketika itu, yang menentang akan kewujudan anak patung itu, akan terlihatlah kejumudan Islam itu. Menyusahkan AJK Masjid yang terpaksa menyusun jadual kuliah akibat kelihangan anak patung secara mengejut dan terpaksa mencari anak patung yang baru untuk menggantikan anak patung yang kami sembunyikan. 

Aku masih ingat dengan kelas pengurusan jenazah itu. Anak patung itu, yang “berjantina” perempuan, telah dibogelkan, untuk “dikafankan”. Maka kami budak-budak hanya tersenyum, melihat anak patung bogel. Hiburan, di ruang solat masjid, sambil belajar. Yang kemudiannya menjadi kontroversi, hanya kerana kami ketika itu, terlalu jumud, masih belum mampu berfikir di luar kotak, hanya Islam yang diwarisi, baru mahu belajar dan masih budak-budak. Lawak, lawak. Kah kah kah. 

Fullstop. Khalas. Finito. Punktlich.