Yang Dikejar Tidak Dapat, Yang Dikendong Berciciran



Satu ketika dulu ya, lama dulu… sewaktu aku sedang main-main basikal roda tiga di depan rumah makcik aku di Taiping, tiba-tiba seorang Makcik yang tidak aku ingat namanya muncul di hadapan aku. Untuk memudahkan jalan cerita, aku menamakan makcik ini sebagai Makcik Rokiah ataupun dengan nama glamornya, Makcik Rok.

Makcik Rok lalu naik motor. Dia berhenti dan bagi aku beberapa jantung pisang, dan sedikit ikan pekasam yang dibuatnya sendiri. Pada waktu itu, Makcik Rok baru balik dari kebun, di belakang parit rumah makcik aku. Segala hasil tanaman yang diberi tadi, semuanya Makcik Rok tanam sendiri.

Satu ketika dulu, berhampiran dengan Taiping, adalah sawah bendang saujana mata memandang. Dari Ayer Puteh sehingga ke Bagan Serai, sampai bersambung ke Kampung Dew juga adalah kawasan sawah bendang dan juga pertanian. Di kawasan-kawasan itu, setiap bulan akan ada satu jentera pengisar padi daripada LPP yang datang untuk mengisar padi. Aku panggil itu mesin padi. Hanya untuk skala kecil. Bagi jumlah yang lebih banyak, terpaksa dikisar di kilang padi di lokasi yang aku sendiri tak ingat.

Itu cerita masa aku belum masuk sekolah. Mungkin 20 tahun yang lepas. Kalau berkenderaan dari Changkat Jering ke Kamunting pada hari ini, sebelah kanan dan kiri jalan, hanyalah hamparan tanah sawah yang terbiar. Masih menghijau dan sebahagiannya sudah terbina rumah, kebun tebu, bengkel motor dan belukar. Satu penghinaan ketara kepada kesuburan bumi.

Aku rasa, pemandangan seperti itu, bukan hanya di Taiping. Bahkan di banyak kawasan lain di seluruh Malaysia. Ambil Negeri Sembilan sebagai contoh, memang tidak tersenarai langsung sebagai pengeluar padi. Ambil pula Kedah, yang khabarnya digelar Jelapang Padi. Pun masih tidak mampu muncul sebagai pengeluar utama beras di Malaysia. Warga negara kita masih lagi berterusan menyuap beras import, yang ditanam, bukanlah di kaki gunung Himalaya atau di sepanjang Sungai Mekong, tapi nun hanya di seberang sempadan.

Satu ketika dulu juga, aku pernah terdengar satu kempen “Dasar Pandang ke Timur”. Masa itu, seluruh warga Malaysia, dibuaikan dengan impian untuk meniru Jepun dan Korea. Mahu menjadi negara industri. Mahu menjadi negara maju. Maka berbondong-bondong lah propaganda muncul di akhbar dan televisyen. Melayu khususnya dibuai dengan propaganda menjadi negara industri. Lagu-lagu patriotik di televisyen akan memaparkan klip-klip video pekerja kilang yang begitu ramai, dengan majoritinya Melayu, turun dari bas kilang, sedang tekun bekerja dan berpakaian seragam. Ini disusuli imej bangunan Dayabumi dan juga Lebuhraya Persekutuan. Ketika itu pemandangan sawah padi sudah mula dilupuskan. Kalau ada pun cuma dalam drama swasta bersiri.

Ketika itu juga kampung-kampung mulai kosong. Semua anak muda mahu bekerja di “Kelumpo”. Tiada sebarang kempen pun dibuat untuk mengekang kebanjiran anak-anak muda ini ke ibu kota. “Kelumpo” seperti mahu dibanjirkan dengan manusia. Orang-orang kampung. Mahu menjadi sebahagian daripada pemacu negara industri. Skil mengetam padi, menoreh getah dan berkebun hanya milik orang tua. Kita mahu ke depan menjadi seperti warga Jepun dan Korea.

Nah, sekarang. Padi yang ada di kampung-kampung itu hanya untuk suapan mulut sendiri. Sekadar mahu punyai beras sendiri. Yang kadangkala tidak termakan. Lama-lama, akhirnya rosak di makan bubuk. Penat badan menuai dan membanting padi tidak berbaloi dengan apa yang diterima. Sekadar mahu berbangga, kami masih meneruskan tradisi. Betul, memang tradisi. Dengan kesemuanya masih lagi berskala kecil, menggunakan teknologi “tradisi” dan pasaran hanyalah mulut sendiri dan kaum kerabat sendiri. Untuk suka-suka.

Sebenarnya apa yang berlaku, adalah bukti kegagalan perancangan menuju negara industri. Yang sebenarnya adalah satu propaganda untuk menipu rakyat demi kelangsungan saku para pemimpin. Bagaimana ini boleh terjadi? Ambil contoh sawah padi. Dengan hamparan tanah sawah yang meluas, dengan kesuburan muka bumi, dengan sumber air yang tidak terbatas, Malaysia terpaksa mengimport beras untuk mengisi perut warganya?

Propaganda negara industri dulu hanya satu helah. Rentetan propaganda itu, maka tanah-tanah rizab Melayu telah menjadi mangsa. Mendirikan kilang-kilang industri, diambil atas nama pembangunan, pembinaan mini kompleks sukan yang kononnya untuk para pekerja kilang, pembinaan rumah-rumah kos rendah yang akhirnya terbengkalai yang kononnya mahu memenuhi permintaan penempatan para pekerja industry yang tinggal di pinggir-pinggir bandar. Dan sebagainya.

Tempoh selepas mahu bergerak mencapai taraf negara industry itu, menyaksikan kita terpaksa menjamah beras Siam dan India, kita makan daging dan minum susu lembu Australia, lamb chop kambing dari New Zealand, bahkan ikan dari Thailand. Pada ketika negara ini, tanahair ini, dirahmati Tuhan dengan kesuburan dan lautan yang meluas. Bekalan daging tempatan masih tidak mencukupi, beras tempatan jauh sekali, produk tenusu usahkan bermimpi. Kenapa?

Ini semua adalah bahana, perancangan demi perancangan, yang ambik satu tinggal satu. Ambik industri tinggal pertanian dan ambik kewangan tinggal industri. Lihatlah apa yang berlaku hari ini apabila kita mahu menjadi hub kewangan pula. Kita tidak lagi sibuk untuk menjadi negara industri, kerana terbukti ia tidak langsung berjaya. Para pelabur mengalih perhatian membuka kilang-kilang perindustrian di Thailand, di China dan Vietnam.

Jangan beritahu itu kerana kos tenaga buruh yang murah. Sebelum mendirikan kilang-kilang perindustrian, kos operasi akan dilihat dulu, kos bahan mentah, kos tapak perindustrian dan sebagainya. Semua ini memang benar telah diambil kira oleh kerajaan ketika memacu pembangunan industry negara pada tahun yang lepas, tapi tiada kesinambungan kerana ia hanya sekadar projek untuk memastikan kroni terus dapat menjual tanah, kroni terus dapat membuat pemilikan sementara sebelum berpindah menerajui sektor baru yang diketengahkan oleh kerajaan. Dalam masa yang sama, ruang masa yang begitu luas telah ditinggalkan untuk pertanian.

Nah, hasilnya, selepas 28 tahun atau 30 tahun, kita kembali mahu bermula dengan pertanian. Tapi ini sudah terlambat. Jepun dan Korea yang kita tiru satu ketika dulu, sudah melangkah dua dekad ke depan dalam industri dan juga pertanian. Ketika kita masih memerah susu lembu menggunakan tangan mereka hanya menekan butang-butang automatic pada panel kawalan. Ketika kita memerlukan satu kampung untuk memegang seekor lembu yang mahu disembelih, Australia hanya menggaji seorang tukang sembelihan berbangsa Pakistan untuk beratus-ratus ekor ternakan. (Bagaimana dengan penyelenggaraan pusat-pusat sembelihan yang wujud satu ketika dulu?)

Sudah belasan tahun aku tidak melihat jantung pisang secara ‘live’. Makcik Rok jugak sudah lama menemui Pencipta. Sawah-sawah masih terus terbiar. Hanya kadangkala timbul seketika, khususnya pada keadaan seperti sekarang. Selepas pembentangan belanjawan. Para usahawan muda ternakan UMNO mahu mendapat bahagian peruntukan. Lembu pawah, tanaman berkelompok itu dan ini, kambing dan sebagainya, tapi masih jauh ketinggalan, kerana sifat kerajaan yang berterusan melaungkan sesuatu hari ini hanya untuk sekadar menyedapkan hati rakyat, tapi kembali senyap setahun kemudian. Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.