Tragedi Ramadhan



Petang tu cuaca memang sedikit suam-suam kuku. Nak kata panas sangat pun tidak, sejuk sangat pun tidak. Kata orang putih, ‘just nice’.  Atey awal-awal dah incas tentang hal pergerakan kami semua untuk berbuka puasa di sekolah lama kami, yang terletak di Teluk Intan. Yang join benda ni ada 4 orang. Atey, aku, Balang dengan sorang lagi budak berambut singa yang bernama Razmi.

Sebelum perjalanan dimulakan, aku dah pack siap-siap semua barang kasi masuk dalam bag. Ada kain pelikat, baju hijau dan kopiah berwarna hitam putih untuk sesi solat Terawih nanti. Balang dan Razmi pulak bawak barang lebih kurang sama dengan aku. Cuma Atey yang pelik sikit, bawak kotak kasut futsal yang aku pun tak tahu apa fungsinya.  

Untuk dressap plak, t-shirt Harimau Malaya tersarung cantik kat badan aku. Atey pakai baju kolar berbelang. Sama juga dengan Balang. Razmi je yang up sikit duk pakai kemeja. Masing-masing tersengih-sengih tengok baju masing-masing. Jalan jauh kena pakai cantik-cantik. Dari tadika lagi mak aku dah ajar pasal benda ni.

Tepat pukul 4, kami semua dah berkumpul di kereta Toyota VIOS milik Atey.

“Tak payah panas-panas enjin la” kata aku kepada Atey.

“Kalau kena panas enjin dulu, kenapa time enjin sejuk dia boleh jalan? Maknanya pandai-pandai la enjin ni nak panaskan diri dia sendiri time jalan nanti”, aku menyambung lagi hujah aku kepada Atey. Waktu ni, kredibiliti aku sebagai pelajar major automotif memang tengah membuak-buak.

Perjalanan ke Teluk Intan dimulakan tanpa sesi memanaskan enjin kereta. Dalam perjalanan, macam-macam lagu yang bermain di corong radio. Ikutkan hati aku, memang aku nak alih ke cenel radio IKIM, tapi pasal tuan punya kereta tengah syok layan lagu Najwa Latip dengan 2 orang mamat mana entah, aku terpaksa mengalah.

“Kay Ell…Owh Kay Ell…” nyanyi 2 orang mamat tu. Sambil tu aku perati kepala Atey dengan Balang masing-masing tengah goyang. Amik feel lagu agaknya. Razmi je yang aku tengok steady sikit. Berzikir mungkin.

“Mamat Kay ell ni kalau lalu sebelah aku tak payah tanya apahal la kalau kena paip kat kepala” getus hati muda aku.

Kami bergerak menghala ke Teluk Intan. Jalan alternatif Bota – Lambor – Kg Gajah – Teluk Intan digunakan. Jalan ni kalau tak silap aku, rekod terpantas dipegang oleh budak-budak motosikal. Diorang kabor, pegi Selabak sejam je dari Tronoh. Ada lagi satu budak UiTM Seri Iskandar kabor, naik 125Z dari Seri Iskandar ke Teluk Intan dalam masa 40 minit aje. Apa benda entah ada kat Teluk Intan ni sampai semua orang nak cepat-cepat sangat.

Secara tiba-tiba, radio duk main lagu Awie plak. Bila dah main lagu Awie, aku pun terpaksa la layan sekali.

“Sedap betul suara Awie ni ye…Macam suara kau pun ada jugak Pek” kata Atey. Razmi dan Balang angguk sekali. Semua dah setuju suara aku memang ada iras-iras Awie tapi Atey  puji lagi pada petang tu.

Nak dijadikan cerita, tak pasal-pasal Balang menjerit. Aku, Atey dan Razmi pandang ke hadapan. Berbelas-belas tandan kelapa sawit ada di tengah-tengah jalan raya. Ya! Berbelas-belas tandan kelapa sawit di TENGAH-TENGAH jalan raya.

Atey brek mengejut sambil melibas stereng. Pemandangan berpusing. Satu ketika pusingan hampir-hampir menyebabkan kereta nak terbalik. Stereng berpusing-pusing secara sendiri sebelum sempat ditangkap oleh Atey semula. Dengan pantas, Atey melepaskan brek dan kemudian menekannya sekali lagi. Akhirnya, kereta berjaya dihentikan dengan selamat.

“Hehehe” Atey start sengih. Semua pun follow sekali sengih. Tadi semua “Aaaaaa!” Sekarang semua sengih. Sengih sebagai tanda kelegaan.

***

Komen para penumpang:

Atey: Ko nampak tak tadi? Ada mamat tu punya rilek je duduk atas moto kat tepi jalan tu. Bukannya nak kutip balik kelapa sawit tu.

Aku: Kalau kereta ni terbalik tadi takde hal sangat. Aku pun dah lama tak main angkat berat ni.

Balang: *(*&&(****&*^^

Razmi: Alhamdulillah. Masih bernyawa lagi kita semua.

***

Selepas itu di sepanjang perjalanan ke Teluk Intan, pemanduan Atey menjadi lebih berhati-hati. Kami sampai ke Teluk Intan dengan selamat. Segala program dirancang berjalan dengan lancar.

Cuma malam tu bila balik ke UTP, sebelum tidur aku teringat. Time tengah panik kereta pusing-pusing tu Razmi sorang je yang mulut keluar benda-benda agama. Yang lain semua keluar benda tak senonoh aje. Tapi tu laa. Mungkin dalam hati lain pulak yang keluar. Mana la tau. Kan? Kan?