Bersih 3.0

Aku mendongak langit. Biasanya apabila scene mendongak langit ni dilakukan, pelakunya akan nampak cool di mata khayalak ramai. Oleh sebab itu, dongakan kali ni aku lakukan dengan lebih lama berbanding dongakan sebelumnya. Sambil mendongak, aku membuat analisis cuaca berdasarkan keadaan langit dan kekuatan pancaran sinar matahari.

"Cukup cantik cuaca hari ini. Sesuai untuk berdemo," bisik aku di dalam hati.

Di sekeliling aku, manusia ramai yang sudah berkumpul. Ada yang datang bersama keluarga dan anak-anak, ada yang datang bersama kawan-kawan dan tidak kurang juga, ada yang datang secara berseorangan. Selalunya golongan yang datang demo secara berseorangan ni adalah golongan yang mempunyai mentaliti ganas seperti aku.

Nak dijadikan cerita, tiba-tiba aku terasa dahaga yang amat. Kelihatan kedai-kedai berhampiran SOGO dibuka dan jualan mereka pun boleh tahan rancak. Kebanyakan kedai Cina. Memang untung besar diorang hari ni. Pemilik kedai Melayu pula semua duduk rumah dan main telo. Kedai tutup dek kerana takut dan termakan tipu daya surat khabar kerajaan. Lantas aku pun berjalan menuju ke kedai tersebut dengan tujuan untuk membeli air minuman.

Setin air 100Plus berada dalam genggaman.Nyaris-nyaris juga tin 100Plus tu nak kemek aku genggam. Aku pergi ke kaunter lantas menghulur 2 helai wang kertas seringgit kepada tauke. Tauke kedai tersebut tersengih menunjukkan gigi dan terus menghulurkan 50 sen. Keluar dari kedai, duit syiling 50 sen tu aku lambung-lambungkan. Oleh kerana aku berasa sangat cool melambung duit syiling 50 sen tersebut, perilaku tersebut aku ulang dan ulang sehingga....

Tap...tap...tap...duit syiling 50 sen aku terjatuh dan berguling-guling menuju ke arah kereta polis yang ada berhampiran SOGO. Duit syiling 50 sen yang tadinya dilambung-lambung kini berada di bawah tayar kereta polis. Aku tunduk lalu menumbuk tayar kereta polis tersebut. Tanpa disedari, aku terlupa untuk mengawal kekuatan tenaga sewaktu menumbuk tayar lantas menyebabkan kereta polis itu terbalik.

Aku usha keliling, berlagak cool, dan terus pulang menuju ke UTP.