Gusti Lengan



17 tahun dahulu


***


Jam menunjukkan pukul 5.30 petang. Ketika ini, Anthony, (lakonan Amitabh Bachan) sedang sibuk bergasak bersama konco-konco penjahat. Lepas bergaduh, entah macam mana, boleh pula Anthony bertemu semula dengan 2 orang abangnya yang telah lama terpisah iaitu Amar dan Akbar. Lepas peluk-peluk, nangis-nangis sikit, pastu 3 beradik semua kahwin sekali, siaran Hindustan itu pun tamat.

Habis Hindustan, aku jadi tak tentu hala. Waktu-waktu macam ni selalunya rancangan masakan kelolaan Chef Wan tengah main kat TV. Rancangan masak-masak ni memang tak kena dengan jiwa aku. Setakat nak masak pun apa jadah nak kena tengok TV. Bukan susah mana. Rancangan katun pula biasanya muncul ketika masuk waktu maghrib. Mungkin ini agenda Freemason untuk mengurangkan bilangan kanak-kanak Islam mengaji selepas maghrib.

“Atok! Opi pegi main kejap kat umah Wak Aji ye.” Jerit aku memanggil Atok yang sedang menghisap Benson di anjung rumah. Nenek aku pula rasanya sedang bersembang dengan jiran sebelah time-time macam ni. Haa lupa nak bagitau. Ketika ni aku duduk di Johor Bahru bersama atok dan nenek atas tujuan untuk meluaskan pengaruh kawasan. Kanak-kanak di Manjung time tu rasanya semua aku dah boleh makan.

Secara pantas aku menyarungkan selipar berjenama ‘Tat Sing’ dan berjalan secara gostan ke rumah Wak Aji. Sesampainya di sana aku terus memberi salam kepada burung terkukur yang dibela oleh Wak Aji. “Assalamualaikum wahai burung” ucapku dengan penuh fasih.

“Kurrr, kurr…” burung itu menjawab kembali salamku.

Usai peristiwa memberi salam kepada burung, aku bergegas ke port permainan kanak-kanak sepantas mungkin. Sebiji meja berada di tengah-tengah kawasan. Nampak macam diorang tengah main gusti lengan. Lantas aku pun bergegas ke arah Sarip yang nampaknya sedang incas bahagian pengadilan.

“Sarip, aku nak join ni Sarip. Boleh tak?” tanya aku penuh bersopan kepada Sarip.

Sarip pula menjawab, “Haa Opi. Ada pun ko. Boleh, boleh. Tapi ko kena lawan dengan Hapizah la. Yang lain semua dah lawan. Kalau menang masuk peringkat suku akhir”.

Hapizah ni budak perempuan yang duduk berhampiran jugak dengan aku. Selalu jugak aku usha, comel budaknya. Rambut tara sederhana, kadang-kadang bertocang dua. Cuma pasal dia ni tadika lain jadi tak berapa nak kenal sangat.

“Setakat Hapizah ni, aku pakai 2 jari je dah boleh menang,” getus hatiku dengan penuh bongkak.

Perlawanan gusti lengan dimulakan. Bookie-bookie yang mengambil pertaruhan mula menjalankan peranan masing-masing. Sarip macam biasa berada di tengah-tengah gelanggang pertarungan. Genggaman tangan aku dan Hapizah mula bersatu. Perlawanan yang hangat dijangka akan bermula.

“Get, set go!!” jerit Sarip dengan sekuat hati.

Seperti dijangka, perlawanan dikuasai dengan penuh bongkak olehku. Tangan Hapizah nampaknya hanya tinggal beberapa sentimeter dari permukaan meja. Mataku dipejam untuk mengerah lebih banyak kekuatan. Tiba-tiba…



***



“Kurr. Kurr….” aku duduk di tepi dan bermain bersama burung Wak Aji.



***

Sepanjang 17 tahun peristiwa ni berlaku, sampai sekarang aku tak pernah cerita kesudahan perlawanan ni kat siapa-siapa. Aku bukan suka sangat main gusti lengan ni. Tak mencabar.