Gua, Saparudin dan RMT

Kisah sedih ni berlaku sewaktu gua bersekolah rendah dulu. Seingat gua time ni gua masih berada di darjah 5. Dulu, gua bersekolah di sebuah sekolah yang terletak di kawasan perkampungan dek kerana mengikut ibu gua sekali yang merupakan seorang guru.

Dalam kelas gua, ada 3-4 orang anak cikgu, seorang anak doktor, seorang anak Pegawai Majlis Perbandaran dan yang lain-lain kebanyakannya anak nelayan, tukang rumah, mekanik dan macam-macam lagi pekerjaan yang kalau gua sebut lu orang tak akan penah dengar punya.

Time ni jugak gua kamcing dengan Saparudin yang merupakan anak seorang nelayan. Tapi, bapak Saparudin bukan calang-calang nelayan. Beliau ada bot dan awak-awak yang bekerja untuknya. Saparudin pun kalau dalam kelas memang tak nampak macam anak nelayan.

Bila gua first time jumpa Saparudin, mati-mati gua ingat Saparudin anak Dato’. Mana taknya, Saparudin pegi sekolah pakai kasut Pallas Jazz, beg beroda SWAN, jam Power Rangers bukak tutup dan yang paling hebat sekali ialah pakaian sekolahnya semuanya berjenama Canggih.

Dekat sekolah gua, jenama Canggih adalah jenama yang paling famous sekali. Hatta kalau pakai baju John Master pun sekalipun, lu orang tak akan dipandang tinggi sebagaimana individu yang memakai Canggih. Gua sendiri pun tak penah merasa baju Canggih ni. Paling mahal gua pakai baju jenama Falcon. Kalau bapak gua ada duit lebih sikit merasa la gua pakai jenama Black Cats pulak.

Tapi yang buat gua tak puas hati, walaupun Saparudin pakai baju Canggih, Saparudin masih lagi mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan ataupun lebih dikenali dengan nama RMT. Kata member gua yang lain, Saparudin dapat RMT pasal bapak dia tak ada slip gaji. Pasal tu dapat RMT. Gua pun tak berapa paham apa kena mengena slip gaji dengan RMT.

Nak dijadikan cerita, Saparudin pulak memang tak suka dengan makanan RMT. Ni lagi gua tak paham. Gua tengok sikit punya sedap RMT tu boleh si Saparudin tak lalu makan. Saparudin lebih gemar makan karipap 3 bijik berserta air gas Mountain Dew setiap kali waktu rehat. Kad RMT Saparudin biasanya tak akan digunakan dan dibiarkan begitu sahaja.

Gua pulak time ni hanya dapat 70 sen untuk belanja sekolah satu hari. Tolak 20 sen untuk tambang bas nak pegi sekolah agama, gua hanya ada 50 sen untuk belanja rehat. Dengan saiz badan gua yang serupa Hulk, 50 sen memang hanya menjadi tahi gigi sahaja. Bila situasi dah menjadi sebegini teruk, gua mendapat satu idea genius.

Ideanya camni. Gua bagi 50 sen gua pada Saparudin dan Saparudin boleh bagi gua kad RMT. Saparudin setuju dengan idea gua tanpa banyak bunyik. Sebenanya, sebelum gua come up dengan idea gua itu, Saparudin telah mengofferkan kad RMT nya secara percuma untuk gua. Tapi gua refuse dengan idea Saparudin. Gua tak mahu dilihat sebagai seseorang yang cuba mengambil kesempatan terhadap member sendiri.

Rancangan gua berjalan lancar. Selama sebulan, gua makan pelbagai makanan yang beraneka jenis. Saparudin pulak masih setia dengan karipap 3 bijik dan air gas Mountain Dew. 50 sen yang gua bagi Saparudin tu Saparudin pakai buat main tikam bola Dragon Ball. Namun, kesenangan yang gua kecapi tak bertahan lama. Kegiatan gua sudah mula dihidu oleh makcik kantin. Lalu makcik kantin dengan lajunya melaporkan hal ni kepada ibu gua. Gua telah dituduh membuli Saparudin dan merampas kad RMT daripada Saparudin.

Sampai rumah, gua nampak ibu gua main bisik-bisik dengan bapak gua. Lepas main bisik-bisik bapak gua tanpa banyak bunyik terus ambil rotan lalu menuju ke arah gua. Tanpa memberi salam mahupun amaran, bapak gua terus merotan gua. Lepas 10 kali rotan, tiba-tiba keluar bunyi “Prapp”, menandakan rotan yang bapak gua pakai dah patah. Gua bersyukur dalam hati.

Bapak gua masuk dalam bilik. Keluar je dari bilik, gua nampak bapak gua bawak keluar lagi 2 rotan yang telah dicantumkan dengan menggunakan beberapa gelang getah. Kesyukuran gua dalam hati kini bertukar kepada carutan dalam hati. Aktiviti merotan diteruskan untuk beberapa minit lagi. Hari tu saje, 3 batang rotan telah berjaya gua patahkan.

***

Sejak hari tu, gua dah jadi lain macam. Asal sebut RMT je gua akan mengamuk sambil hempas kerusi meja dan koyak buku latihan.