Soalan Buat Kalian

Aku sebenarnya penat. Teramat penat dalam menjawab mengenai permasalahan yang bagi aku sebenarnya tidak ada masalah. Hanya kita yang menjadikannya sebagai masalah. Oleh sebab itu, buat terakhir kali, biarkan aku menjawab soalan-soalan kalian dengan soalan. 

Apakah sebenarnya hak bangsa Melayu yang tercabar di dalam kes penggunaan perkataan Allah ini? Apakah dia hak bangsa Melayu yang cuba dirampas dalam isu ini? Dalam ISU PENGGUNAAN PERKATAAN ALLAH. Aku tidak mahu memetik mana-mana ayat suci Al Quran lagi, cukuplah dengan apa yang sudah disingkapkan oleh kawan-kawan lain, sudah memadailah untuk jiwa-jiwa yang tenang memahaminya.

Aku beritahu, kalau dari sudut logiknya sekalipun, perkataan itu bukan milik bangsa Melayu. Dari situlah bermulanya kemarahan, tohmahan, cacian, sumpah seranah dan apa sahaja yang dilabelkan – daripada aku kepada kumpulan manusia rasis ini. Sejak bila pulak turunnya wahyu Allah Taala yang menyebutkan perkataan Allah itu milik mutlak bangsa Melayu?

Apakah dengan membenarkan perkataan Allah itu digunapakai oleh Kristian, maka kita terpaksa menerima akidah mereka? Apakah dengan munculnya kekeliruan tentang Allah yang mana satu, maka itu wajarnya para penyokong penggunaannya dikafirkan? Bagaimana dengan puluhan badan-badan agama dan dakwah Islam yang sepatutnya tugasan mereka menyuburkan agama suci itu di bumi Malaya sejak sekian lama? Di mana mereka?

Kumpulan ini bimbang tugasan mereka akan lebih berat. Mereka terpaksa pula menjelajah pelusuk ceruk kampung memberitahu, bahawa Allah kita lain dan Allah penganut Kristian itu lain. Mereka malas melakukan kerja-kerja tambahan sebegini kerana selamanya ini mereka tidur, kerana selama ini mereka sibuk berbual tentang berapa ramai pengikut fahaman Salafi, berapa ramai pengikut Syiah dan penceramah bebas mana yang paling pandai berjenaka.

Mengapa boleh wujud kekeliruan tentang penggunaan perkataan Allah itu? Bukankah kerana sejak awal lagi, di bumi Malaya itu, Islam cuba diMelayukan? Bukankah kerana bangsa Melayu itu mahu muncul lebih Islam daripada Islam itu sendiri? Dan bagi aku sendiri, akibat sikap bongkak dan sombong bangsa Melayu, maka bukan sahaja sekarang kekeliruan itu muncul bahkan sejak dahulu lagi warga bukan Islam telah keliru, adakah Islam itu sebenarnya Melayu atau bangsa Melayu itu beragama Islam?

Sekarang, pada tahun 2013 ini, kita mengatakan bahawa semua orang akan keliru, Allah yang mana satu? Adakah Allah orang Islam atau adakah Allah orang Kristian? Kenapa boleh keliru? Ini kerana Islam itu telah diMelayukan oleh orang Melayu, yang pada hari ini seperti mengatakan agama Islam itu hanya untuk orang Melayu. Dan dimana pula puluhan badan-badan agama dan dakwah Islam yang sepatutnya sejak sekian lama mereka perlu menyampaikan pemahaman tepat tentang Islam? Sebaliknya saudara baru yang memeluk Islam akan dipaksa memakai baju Melayu, apabila berkahwin, mesti mengikut adat orang Melayu, perlu ada nama Melayu, dijauhkan daripada ahli keluarga asal dan sebagainya.

Dari sinilah berpuncanya kekeliruan itu. Islam sudah dimonopoli oleh bangsa Melayu sehinggakan perkataan-perkataan Arab sudah diMelayukan, dan tanpa segan dan silu mereka mengaku itu milik mereka. Apabila kamu bercakap menggunakan perkataan-perkataan ini, maka kamu akan dilihat lebih Islam, walaupun sebenarnya perkataan itu dituturkan juga oleh jutaan umat manusia yang bukan kesemuanya beragama Islam. Contohnya ialah Allah.
 
Cukuplah sampai disitu. Bercerita tentang isu ini, seperti mencurah air ke daun keladi. Untuk mengalihkan isu, cerita lain pula dibuka. 

Celaka. Ada sebahagian soalan yang aku dah sendiri jawab.