Soalan Buat Kalian

Aku sebenarnya penat. Teramat penat dalam menjawab mengenai permasalahan yang bagi aku sebenarnya tidak ada masalah. Hanya kita yang menjadikannya sebagai masalah. Oleh sebab itu, buat terakhir kali, biarkan aku menjawab soalan-soalan kalian dengan soalan. 

Apakah sebenarnya hak bangsa Melayu yang tercabar di dalam kes penggunaan perkataan Allah ini? Apakah dia hak bangsa Melayu yang cuba dirampas dalam isu ini? Dalam ISU PENGGUNAAN PERKATAAN ALLAH. Aku tidak mahu memetik mana-mana ayat suci Al Quran lagi, cukuplah dengan apa yang sudah disingkapkan oleh kawan-kawan lain, sudah memadailah untuk jiwa-jiwa yang tenang memahaminya.

Aku beritahu, kalau dari sudut logiknya sekalipun, perkataan itu bukan milik bangsa Melayu. Dari situlah bermulanya kemarahan, tohmahan, cacian, sumpah seranah dan apa sahaja yang dilabelkan – daripada aku kepada kumpulan manusia rasis ini. Sejak bila pulak turunnya wahyu Allah Taala yang menyebutkan perkataan Allah itu milik mutlak bangsa Melayu?

Apakah dengan membenarkan perkataan Allah itu digunapakai oleh Kristian, maka kita terpaksa menerima akidah mereka? Apakah dengan munculnya kekeliruan tentang Allah yang mana satu, maka itu wajarnya para penyokong penggunaannya dikafirkan? Bagaimana dengan puluhan badan-badan agama dan dakwah Islam yang sepatutnya tugasan mereka menyuburkan agama suci itu di bumi Malaya sejak sekian lama? Di mana mereka?

Kumpulan ini bimbang tugasan mereka akan lebih berat. Mereka terpaksa pula menjelajah pelusuk ceruk kampung memberitahu, bahawa Allah kita lain dan Allah penganut Kristian itu lain. Mereka malas melakukan kerja-kerja tambahan sebegini kerana selamanya ini mereka tidur, kerana selama ini mereka sibuk berbual tentang berapa ramai pengikut fahaman Salafi, berapa ramai pengikut Syiah dan penceramah bebas mana yang paling pandai berjenaka.

Mengapa boleh wujud kekeliruan tentang penggunaan perkataan Allah itu? Bukankah kerana sejak awal lagi, di bumi Malaya itu, Islam cuba diMelayukan? Bukankah kerana bangsa Melayu itu mahu muncul lebih Islam daripada Islam itu sendiri? Dan bagi aku sendiri, akibat sikap bongkak dan sombong bangsa Melayu, maka bukan sahaja sekarang kekeliruan itu muncul bahkan sejak dahulu lagi warga bukan Islam telah keliru, adakah Islam itu sebenarnya Melayu atau bangsa Melayu itu beragama Islam?

Sekarang, pada tahun 2013 ini, kita mengatakan bahawa semua orang akan keliru, Allah yang mana satu? Adakah Allah orang Islam atau adakah Allah orang Kristian? Kenapa boleh keliru? Ini kerana Islam itu telah diMelayukan oleh orang Melayu, yang pada hari ini seperti mengatakan agama Islam itu hanya untuk orang Melayu. Dan dimana pula puluhan badan-badan agama dan dakwah Islam yang sepatutnya sejak sekian lama mereka perlu menyampaikan pemahaman tepat tentang Islam? Sebaliknya saudara baru yang memeluk Islam akan dipaksa memakai baju Melayu, apabila berkahwin, mesti mengikut adat orang Melayu, perlu ada nama Melayu, dijauhkan daripada ahli keluarga asal dan sebagainya.

Dari sinilah berpuncanya kekeliruan itu. Islam sudah dimonopoli oleh bangsa Melayu sehinggakan perkataan-perkataan Arab sudah diMelayukan, dan tanpa segan dan silu mereka mengaku itu milik mereka. Apabila kamu bercakap menggunakan perkataan-perkataan ini, maka kamu akan dilihat lebih Islam, walaupun sebenarnya perkataan itu dituturkan juga oleh jutaan umat manusia yang bukan kesemuanya beragama Islam. Contohnya ialah Allah.
 
Cukuplah sampai disitu. Bercerita tentang isu ini, seperti mencurah air ke daun keladi. Untuk mengalihkan isu, cerita lain pula dibuka. 

Celaka. Ada sebahagian soalan yang aku dah sendiri jawab. 

Allah dan Melayu


Kalimah Allah itu sudah digunapakai sejak ribuan tahun, sejak sebelum kemunculan Muhammad s.a.w lagi. Sebelum kamu semua lahir, dan sebelum bapak-bapak kamu lahir.

Apa yang istimewa sangat dengan bangsa Melayu ini? Apa yang eksklusif sangat dengan bangsa Melayu ini? Islam itu telah wujud sejak ribuan tahun sebelum orang Melayu pandai bersunat, sebelum orang Melayu pandai membaca Al Quran, sebelum orang Melayu mengenal istilah-istilah Arab yang kemudiannya dibukukan dan diakui sebagai bahasa Melayu.

Kenapa bangsa Melayu ini begitu bongkak, begitu rasis dan sombong kononnya mereka lah bangsa yang paling “Islam” atas muka bumi ini, kononnya mereka lah bangsa yang paling suci, bangsa penyelamat ummah, bangsa yang mempunyai hak eksklusif ke atas agama Islam sedangkan satu “alif” pun tidak disebut tentang bangsa Melayu sama ada dalam Al Quran mahu pun Sunnah. Tiada. Zilch. Ma Fi. Nothing. Ilek.

Dalam surah Al Hujurat ada disebut "Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra di antara satu dengan yang lain).

Orang Melayu-Islam yang membaca Al Quran tidak begitu mudah menerima ayat yang sangat mudah pemahamannya ini. Ini kerana bangsa rasis seperti orang Melayu, bangsa yang bongkak seperti orang Melayu, bangsa yang perasan diri mereka adalah Islam tulin seperti orang Melayu, sengaja terlepas pandang tentang seruan mudah dan jelas ini.

Apakah apabila perkataan Allah itu sudah digunapakai agama lain, bermakna kita terpaksa menerima akidah mereka? Apakah akidah orang Melayu-Islam itu hanya terletak pada perkataan Allah?

Apakah yang lebih penting, memantapkan akidah dan ajaran Islam dengan mendepani segala cabaran untuk memantapkan institusi agama, dakwah, akhlak dan ibadat kepada seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa, atau pun berkokok menentang penggunaan perkataan Allah yang tidak langsung menggugat akidah, merampas agama, let alone merampas hak eksklusif bangsa Melayu “rasis” ke atas agama suci ini?

Kononnya, apa yang berlaku di negara Arab dan negara lain itu adalah berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia. Kumpulan manusia rasis dan bongkak ini seringkali mengatakan, ini adalah dalam konteks Malaysia sendiri. Aku pun tidak berapa faham konteks apa? Kepala hotak engkau konteks Malaysia. Bodoh punya manusia! Islam itu sudah cukup lengkap, Islam bukan diturunkan untuk bangsa Arab, bukan untuk bangsa Toureg, let alone untuk bangsa Melayu di Malaysia yang rasis dan bongkak. Islam itu adalah untuk semua, lengkap walaupun lu sebarkan ke Kutub mahu pun ke pendalaman Amazon.

Jadi, kenapa kamu begitu bersungguh-sungguh mencaci penganut agama lain dengan kononnya kamu lah bangsa pilihan, benteng kukuh untuk agama Islam, pengamal ajaran Islam yang tulin, menyemarakkan semangat kebencian dan perkauman, hanya kerana satu perkataan yang bukan pun milik kamu, yang tidak pun menyentuh akidah kamu dan tidak langsung dirampas kerana ia memang bukan milik kamu - telah cuba untuk dikongsi oleh penganut agama lain?

Bodoh dan bebalnya Melayu-Melayu Islam yang menyebarkan rasisme dan kebencian itu, celakalah ke atas kamu semua yang berselindung atas nama agama ketika mana diri kamu dan keluarga kamu penuh dengan dosa-dosa rasuah, penipuan, isteri yang hipokrit sekadar bertudung untuk ke majlis tahlil, penahanan tanpa bicara, konspirasi politik, salahguna wang rakyat, monopoli gula dan beras, membunuh, memfitnah dan pelbagai dosa lain yang seribu kali lebih utama untuk diperbetulkan.

Kalian adalah bangsa yang paling hina, bangsa rasisme, bangsa bongkak yang sebenarnya tiada tempat dalam agama Islam yang terang-terangan menganjurkan perpaduan itu, yang mengajurkan kesamarataan, sifat rendah diri, dan diturunkan untuk seluruh umat manusia, tanpa menyebut pun bangsa Melayu.

Celakalah ke atas kalian kumpulan manusia rasisme, sombong dan bongkak. Semoga Tuhan mengampunkan dosa-dosa kalian.

Saya, Islam dan Budaya

Budaya itu adalah satu benda yang sukar difahami. Sukarnya ia untuk difahami atas sebab kepelbagaiannya di serata dunia. Yang A dengan budaya A, yang B dengan budaya B, masing-masing punya budaya sendiri. Walaubagaimanapun, salah satu cara mudah untuk memahami budaya dan manusia ialah dengan melihat tandas rumah anda semua. Ada tandas cangkung ada juga tandas duduk.

Budaya itu seperti tandas. Secanggih mana pun rekaan tandas, fungsinya tetap sama iaitu menjadi tempat pembuangan sisa tahi tubuh manusia. Juga berfungsi untuk melindungi kejelekan kita dari terdedah semasa melaksanakan urusan pembuangan sisa perut.Tidak pernah pula aku dengar ada tahi yang tiba-tiba menjadi wangi apabila dibuang di tandas yang canggih. Yang membezakannya hanyalah cara tandas itu berfungsi. Sama ada kita mencangkung atau duduk, terserah masing-masing.

Budaya juga begitu, segala macam budaya di dunia ini berfungsi untuk melindungi kejelekan manusia. Cuma bagaimana manusia itu melaksanakan budaya itu berbeza. Bagi orang Melayu, supaya terlihat sopan, maka budaya berkias-kias itu dijadikan sandaran. Bagi masyarakat Barat pula, supaya terlihat sopan santun, budaya berterus terang itu menjadi asas. Fungsinya tetap sama untuk melindungi kejelekan pada diri mereka yang masih punyai kesombongan dan kebongkakan. lalu budaya sopan santun itu di bina.

Persoalannya, untuk yang sering mengguna tandas cangkung, apabila sampai ke rumah yang menggunakan tandas duduk, maka harus dia mencangkung atau duduk? Jika dia mencangkung pada tandas duduk itu, pasti dilabel sebagai kurang ajar. Dan jika duduk di tandas cangkung pula, digelar bodoh.

Budaya juga begitu, jika Melayu ke Barat dan masih terus berkias-kias, pasti Barat melihat itu sebagai satu kebodohan. Jika Barat pula datang kedunia Melayu dengan budaya berterus terang mereka, dianggap pula kurang ajar. Lalu fungsi budaya tadi berubah sebaliknya. Tidak lagi melindungi kejelekan, malah mempamirkan kejelakan itu sendiri.

Untuk itu, budaya hanyalah terhad untuk melindungi kejelakan sesuatu golongan kaum manusia itu. Tidak ada budaya yang sempurna. Lebih malang untuk mereka yang tidak menjumpai budaya. Seperti mereka yang tidak menjumpai tandas, lalu dengan selamba membuang najis di dalam semak mahupun di sungai. Kejelekan itu tersebar jelas dengan baunya, berserta pakej hurungan langau hijau. Jelek.

Mujur, Islam itu hadir. Hadir bukan sebagai tandas yang boleh kita duduk, atau mencankung. Islam itu hadir sebagai panduan supaya kita bijak untuk menggunakan tandas. Jika duduk, harus duduk. Jika mencangkung, harus mencangkung. Jika tidak berjumpa tandas, harus dilindungi najis yang wujud itu dengan tanah atau daun-daunan.

Bermaksud juga Islam hadir supaya kita menggunakan segala bentuk budaya itu dengan bijak tanpa perlu prejudis. Tanpa mengangkat mana-mana budaya sebagai yang paling bagus.

Tapi Islam itu mengangkat manusia itu lebih bagus dari budayanya. Tanpa perlu terkongkong dengan segala macam budaya. Logiknya, Islam mengangkat kita manusia ini lebih bagus dari tandas tadi. Kerana manusia tidak harus terkongkong dengan budaya yang menjadikan mereka mundur. Seperti budaya malu-malu yang tidak bertempat yang menyababkan kita malas bertanya dan lebih kepada mengesyaki. Budaya mengintai pasangan berkhalwat juga di salah tafsir sebagai budaya yang bagus padahal ia adalah budaya membuka aib. Sedangkan Islam mewajibkan kita menjaga aib.

Sekarang, kalian jelas bukan? Islam itu hadir bukan untuk membudayakan manusia, tapi Islam hadir untuk memanusiakan budaya. Atas sebab kita manusia ini, lebih elok dari budaya. Jauh lebih elok.

Cinta Kedai Buku

Hari ini aku pergi ke satu kedai buku ternama yang terletak juga di dalam pusat membeli belah ternama yang baru dibuka. Pergi aku dengan seorang kawan, kawan yang tinggal hanya beberapa kilometer dari rumah, duduk berhadapan ketika di sekolah dan juga belajar di universiti yang sama. Dan bila aku sebutkan 'kawan' automatik jantinanya ialah lelaki. Pantang lelaki berimej ganas seperti aku ni berkawan dengan perempuan. 
 
Masuk-masuk ke kedai buku, aku pun mula mencari buku. Takkan lah pula aku nak mencari sayur di situ. Kawan yang seorang ni nak mencari fail. Aku biarkan dia dengan urusan fail. Nak dekat 10 minit aku mencari, tak jumpa-jumpa juga tajuk buku yang dicari. Akhirnya aku menyerah kalah dan terus mencari petugas kedai yang berhampiran.
 
"Dik, saya nak buku tajuk _______ karangan ______. Ada lagi tak? Pasal saya cek ikut internet tadi masih ada stok," tanya aku dengan lembut. Ajaran mak aku supaya berlembut ketika meminta pertolongan aku simpan elok-elok dalam kepala. 
 
"Haa. Saya rasa ada lagi buku ni dekat dalam stor tu. Abang tunggu sini kejap, saya pergi cari dekat dalam stor tu ye", balas petugas kedai itu juga dengan lembut. Ajaran mak aku nampaknya membuahkan hasil. 

Aku tunggu. 
 
Dan tunggu.
 
Dan menunggu lagi.
 
Rasa jemu sudah melutut dalam dada aku. Lamanya menunggu urusan di kedai buku yang satu ini. Lambatnya tidak main-main. Lambat yang sejati. Lambat yang tidak kenal malu. Lambat yang cukup padu. Sudah hampir 35 minit aku di situ dan selama itu jugalah aku duduk membelek buku yang lain dengan wajah resah dan terburu-buru.

Menunggu dan terus menunggu sehingga, aku perasan ada seseorang di belakang. Seseorang berada di belakang anda ketika berada di kedai buku adalah perkara normal. Tidak ada apa-apa sebenarnya. Cuma yang pelik, telefon bimbitnya berdering. Dering yang menyatakan itu telefon bimbit keluaran tahun 2004 ataupun 2005. Terlalu jauh ketinggalan zaman. Itu yang pertama datang dalam fikiran aku, namun pada ketika aku mendengar suaranya berbisik menjawab telefon, aku terdiam.

“Ya, ibu. Ibu jangan risau, Kejap lagi Along pegi bank. Nanti Along masukkan duit ke akaun adik. Ibu jangan risau.”

Suara itu, suara perempuan yang taat. Itu agak-agak aku. Ikutkan hati, nak juga aku berpaling dan melihat wajahnya tetapi aku kukuhkan hati, kerana khuatir juga aku nanti terlihat sebagai lelaki yang dikata - “Amboi, mata bukan main lagi”. Ya, sangat khuatir.

“Ibu tak payahlah nak masukkan duit ke akaun adik. Ibu simpan duit ibu. Jangan risaukan adik-adik, Along akan jaga diorang semua.”

Pada kali kedua mendengarkan suara perempuan itu, datang anggapan kedua aku, dia adalah perempuan yang bertanggungjawab. Dan jarak aku dengan perempuan itu sengaja aku rapatkan, dalam jarak yang masih lagi munasabah supaya semakin jelas aku dapat mendengar kata-katanya.

“Along baik-baik je ibu. Ibu jangan risau. Ibu yang jaga diri. Nanti Along masukkan duit ke akaun ibu juga.”

Aku tahu mendengar curi itu bukan perbuatan terpuji, tetapi entah mengapa nada suara perempuan di belakang itu, yang langsung aku tidak nampak wajahnya itu, terasa memberikan sesuatu kepada hati. Dan pada kali ketiga aku mendengarkan suaranya, aku beranggapan bahawa dia perempuan yang berdikari dan penuh harga diri.

“Ibukan bercita-cita pergi Mekah. Setakat jualan tudung-tudung ibu, mana cukup. Lagipun Along dah berjanji kepada ibu, mahu menghantar ibu ke Mekah.”

Pada kali keempat aku mendengarkan suara perempuan itu, aku tahu dia adalah perempuan yang menjaga agamanya. Hati aku pada ketika itu sudah lupa pada masalah menunggu lama di kedai buku itu. Terdetik hati aku, biar lebih lama begini dan aku suka. Suka pada perkara yang saya tidak tahu puncanya. Dan petugas kedai itu yang awalnya aku rancang untuk lempang habis-habisan akan aku belanja Kenny Rogers yang berada di tingkat bawah pusat membeli belah tersebut.

“Ibu, minggu depan Along balik. Along pun sudah rindukan ibu. Itulah, Along nak ibu tinggal sekali, ibu tidak suka. Hari-hari Along asyik teringatkan ibu.”

Pada kali kelima, aku terus beranggapan, perempuan ini adalah keturunan yang baik-baik, yang dijaga dan dididik oleh ibunya dengan penuh kasih, sehinggakan kata-katanya terdengar begitu lembut dan tidak dibuat-buat.

“Ya, ibu. Along tahu ibu sayangkan Along. Along pun sangat sayangkan ibu. Tetapi demi adik-adik, Along perlu berkorban. Doakan sahaja, semua ini tidak lama. Ibu jagalah diri baik-baik dan jangan risaukan jodoh Along. Along akan punya keluarga juga selepas ibu tidak lagi risau dengan masa hadapan adik-adik. Namun buat masa ini, biarlah Along tanggung semua risau ibu, kalau tidak semua, paling kurang biarlah Along berkongsi risau itu, kerana ibu sudah risau sejak hari pertama ibu tahu mengandungkan kami.”

Pada kali keenam mendengarkan suara itu, aku mula beranggapan, bukan lagi kepada perempuan itu, tetapi kepada diri aku. Celaka. 
 
Aku sudah jatuh hati. Hanya untuk perbualan yang tidak sampai tiga minit, aku sudah jatuh hati kepada perempuan yang aku langsung tidak nampak wajahnya dan berada di belakang aku?

Lalu pada ketika aku nekad mahu berpaling, datang pula petugas kedai memanggil. Sekali lagi celaka. Lebih besar punya celaka. Bergegas aku ke kaunter sambil kepala mencari akal, atas alasan apa mahu berpaling ke belakang? Mahu berpaling dengan membuat aksi leher lenguh? Itu sudah terlalu basi. Aku lebih rela mati dari melakukan sesuatu yang basi. Perlu suatu aksi yang lebih daripada sekadar itu bagi memberikan impressi pertama yang baik.

Ketika urusan jual beli selesai, dan aku berpaling perempuan itu pula sudah tidak ada di tempatnya. Mata aku mula meliar ke sana sini mencari siapa perempuan yang aku sudah jatuh hati kepadanya. Sayang, aku cuma kenal suaranya, kenal peribadinya, kenal kisahnya tetapi tidak kenal wajahnya.

Hidup memang selalu begini, yang terbaik selalu datang pada ketika kita malu berpaling ke belakang, dan pada ketika kita sudah berani berpaling, ia hilang dan hanya meninggalkan sesuatu dalam kepala untuk difikirkan pada setiap malam.
 
Selepas itu, aku kembali ke kaunter, karate mesin duit dan kembali melempang petugas kedai.

Viva Palestina!

Manusia sebenarnya masih lagi jauh daripada sifat kemanusiaan. Manusia sebenarnya masih lagi ketinggalan untuk sekurangnya mempunyai nilai-nilai murni satu susuk yang boleh bergerak bertutur dan yang lebih penting boleh berfikir. Tembok pemisah antara manusia dan haiwan.

Apabila melihat sekeliling, anda boleh menyaksikan kebenaran situasi ini. Sikap sombong dan bongkak, paras rupa, agama dan yang lebih utama, kekayaan dan pangkat menyebabkan semua ini berlaku.

Penduduk Palestin, susuk-susuk sasa bertubuh cerah itu, hari ini menjadi tajuk utama berita dunia. Mereka dianggap seperti pelarian, betul. Mereka itu seperti tidak mempunyai negara, betul. Mereka itu menjadi mangsa penindasan, betul. Mereka itu dalam kesusahan, betul. Dan mereka juga adalah manusia, satu yang tidak boleh dinafikan.

Setiap manusia itu, pasti sekurang-kurangnya mempunyai keluarga. Ada yang mempunyai ibu dan ayah, anak dan isteri, sanak saudara atau jika mereka sendirian pasti juga mereka mempunyai kawan. Jangan dinafikan.

Apa yang berlaku ke atas penduduk Palestin pada hari ini memang melambangkan betapa manusia semakin kehilangan sifat kasih sayang sesama insan. Sudah tidak lagi punyai belas simpati kepada kesusahan orang lain. Sudah tidak lagi mahu mencuba membayangkan duduk tubuh sendiri pada lokasi kesusahan orang lain. Bukan mencuba kesusahan tetapi cuma berimaginasi. Tidak.

Mereka dipukul, mereka tidak diberi makanan bahkan selipar untuk mengalas kaki juga tidak mampu disediakan. Bukti manusia yang melihat susuk mereka dengan batasan paras rupa, batasan agama dan kekayaan.

Sebenarnya, kita tidak perlu ke Thailand untuk melihat kekejaman manusia ke atas manusia. Kita tidak perlu ke Guantanamo itu mengejek penindasan ke atas hak asasi seorang manusia. Kita tidak perlu ke Rohingya untuk mencari bukti bagaimana agama boleh menjadi sempadan kesombongan manusia.

Semuanya wujud di depan mata sendiri. Semuanya terhidang di dalam ‘rumah’ kita sendiri. Semuanya tersedia di mana sahaja kita berada. Bagaimana untuk melihat, ia adalah bergantung kepada kebijaksanaan kita. Dan sifat kemanusiaan kita sendiri.