Berpuasa di Bengkel


Seperti biasa, pada hari tu aku mengayuh basikal untuk pergi menuju ke bengkel tempat kerja. Setelah berlumba dengan beberapa ekor anjing ketika berada di perjalanan, aku berjaya sampai di bengkel dengan selamat. Dengan penuh steady, aku meletakkan kad kehadiran di dalam mesin punch dan terus bergegas memarkir basikal. Oleh kerana aku begitu konfiden tiada siapa yang mahu mencuri basikal aku, makanya basikal aku dibiarkan tanpa sebarang kunci.

Masuk-masuk bengkel, aku terus berjalan masuk ke ‘test bench’. Aku sebenarnya sedang menunggu sesuatu yang pasti. Dan tidak lama kemudian tiba jua apa yang aku tunggu. Aku bangun dari duduk bertinggung dan bergerak menyertai perhimpunan pagi khas untuk semua pekerja bengkel.

"Okey semua, seperti yang dijanjikan hari ni kita akan adakan proses W6 major overhaul. Masa yang diberikan untuk kerja ini adalah 6 jam. Setiap seorang mesti bekerjasama dan siapkan enjin ini secepat mungkin. Kita akan mulakan kerja tepat jam 9 pagi ini. Orait?"

Begitulah kata Encik Razak yang merupakan seorang workshop manager yang cukup garang.

Sebagai informasi tambahan, proses W6 major overhaul adalah proses yang paling sukar dalam kerja baik pulih enjin. Piston, cylinder liner, cylinder head, injector, crankshaft, turbocharger dan bermacam-macam lagi komponen utama enjin harus dibawa keluar, dicuci, dan ditukar ganti jika ada kerosakan. Berbeza dengan proses W5 atau W4 overhaul dimana hanya turbocharger dan injector sahaja yang perlu dibaik pulih. ‘Test bench’ pula ialah tempat di mana enjin akan diuji dengan menggunakan dynamometer dan juga tempat untuk melakukan ‘load test’.

Walaubagaimanapun, sebagai seorang anak muda yang tidak gemar ditindas, aku meluahkan perasaan yang terbuku di dalam hati.

"Kautim la sikit, Encik Razak. Major overhaul takkan la nak jalan 6 jam juga. Up la lagi 2 jam. Orang German yang buat enjin tu pun takkan mampu nak setelkan enjin ni dalam 6 jam..."

"Aih pagi pagi dah nak buat saya naik angin nampak?" balas Encik Razak menjeling.

Serta-merta aku buat-buat kecik badan lantas cuba menyorok di belakang member-member lain.

***

Di sebelah aku adalah enjin MTU 538 16V. Sebuah enjin kapal berkuasa dan berteknologi tinggi pada masa itu. Rekod kelajuan maksimum yang pernah dicatat oleh enjin ini adalah 1800 RPM mengikut cakap member aku, Ong Chung Wee yang dulu kena buang sekolah sebulan sebelum SPM. Ong jugak cakap enjin ni mampu mengejar nelayan haram di lautan Selat Melaka tanpa sebarang masalah. Pada masa yang sama, di kaki aku yang bersarung kasut keselamatan, tersergam sekotak toolbox yang penuh dengan bermacam-macam alat yang aku pun tak tau macam mana nak eja.

"Okey boleh mula sekarang!" jerit Encik Razak.

Pap! Pap! Pap!

Berdesup semua yang lebih kurang 5 orang memulakan kerja. Aku pun tak terkecuali jadi serba sibuk. Mula- mula aku buka kaver kotak cam ataupun dalam bahasa Inggerisnya, cover cambox. Selesai buka, aku sangkutkan cambox itu kepada kren dan menurunkan cambox ke bawah dengan penuh berhati-hati.  Lepas itu, kena bukak kepala silinder, kasi buang minyak enjin, buka emergency air flap, centrifugal pump, kaver itu, kaver ini dan sebagainya. Bila rasa rasa macam otak tak berapa jalan, aku curi-curi perhati member sebelah, Wak Mad buat kerja.

Kruk kruk kruk!

Aku pegang perut.

***

3 jam berlalu.

"Sambung kerja ye. Saya nak ke base TLDM kejap. Ada kapal yang nak ‘sea try’. Ingat, saya nak satu kali ‘crank’ terus hidup!" sound Encik Razak sambil berjalan ke Toyota Viosnya yang diparkir berdekatan basikal aku.

Satu lagi informasi tambahan, ‘sea try’ ialah proses dia mana kapal yang baru sahaja enjinnya menjalani proses W6 major overhaul akan diuji kelajuan dan sekiranya ada masalah, segala baik pulih akan dijalankan di kapal pada masa itu juga.

***

Kruk kruk kruk!

Sekali lagi aku pegang perut.

Enjin yang aku kerjakan dah terbarai. Valve dah bercerai, piston dah bersusun atas meja, aci engkol, aci sesondol semuanya aku dah settle kasi berkilat. Tinggal nak tukar parts baru dan pasang balik semua barang aje.

Dan untuk semua proses itu begitu banyak sekali tenaga aku terjejas. Tekak pula punya la kering sampai air liur dah tak mampu nak support. Dah la sahur pagi tu makan Quaker Oat dengan kurma 3 bijik aje.

"Wei Cipong..." tegur aku kepada member sebelah. Cipong ni tak silap aku hampir 5 tahun lebih tua dari aku ketika itu. Nama betul Cipong ialah Mohd Nur Azreen. Bagus budaknya, rajin ke masjid, rajin puasa sunat. Entah macam mana dari Azreen boleh jadi Cipong tidaklah pula aku tahu.

"Hah mende?" jawab Cipong sambil ukur diameter rod penyambung (con rod) menggunakan bore gauge - sejenis alat pengukuran yang aku sendiri dah lupa cara nak pakai hari ni.

"Ko amacam? Aku tak boleh pergi ni..."

"Sabar. Inilah namanya cabaran," balas Cipong acuh tak acuh sambil mencatit hasil pengukuran.

"Fak you cabarann!! Aku tak boleh pergi, aku tak boleh pergiiiiiiiiiiiiii!!!"

Aku capai kunci motor Cipong, start motor dan bergegas pergi ke kedai mamak tanpa memakai helmet. 

**********************************************************


Ahh. Aku lupa nak cakap. Hari tu sebenarnya aku ikut Cipong puasa sunat.