Nostalgia Ramadhan


Tahun pertama aku berpuasa adalah pada tahun 1997. Mengikut congakan ringkas aku, time tu aku berada di darjah 2. Sebelum itu, haram satu benda apa pun aku tak tau pasal Ramadhan ni. Selain bunga api, mercun papan dan mercun gasing, yang aku tau, situasi di rumah pada bulan Ramadhan tu, lauk tengah hari tiba-tiba jadi barai, pastu secara tiba-tiba lauk makan malam menjadi heaven yang amat ditambah lagi dengan kuih-kuih pelik yang berwarna-warni.

Tu aku tak masuk part air lagi tu. Memang cukup ajaib. Kalau dalam bulan-bulan biasa, memang cukup susah nak minum air berperisa ketika makan malam. Sikit-sikit air masak. Sikit-sikit air masak. Kalau ada tetamu datang merasa la minum sirap. Bila masuk bulan puasa, peh, memang magik. Macam-macam jenis air ada. Ada spesis air yang haram aku tak pernah jumpa dan rasanya sungguh sedap seperti lai chee kang, air mata kucing, air buah-buahan dalam tin dan jugak air tebu. Sampai aku rasa nak buang merata-rata je kordial sirap yang ada dekat rumah tu.

Akhirnya ketika aku berada di darjah 2, sinar Ramadhan mula menyinari hatiku. Tambahan pula bapak aku menawarkan ganjaran yang cukup menarik dan lumayan sempena Ramadhan. Tawaran ‘1 hari Puasa , 1 Ringgit’ ini memang tak boleh dilepaskan. Aku dah mula congak-congak hasil berpuasa ini nanti. Aku konfiden, untuk mendapatkan 30 ringgit ni memang dah dalam tangan. Kad-kad wrestling terbaru yang dijual di kedai Cik Mah sudah terbayang. Yoyo brand YOMEGA plak dah berpusing-pusing dalam kepala. Tu belum masuk lagi kaset Senario dan pensel picit model terkini.

Hari pertama berpuasa – Aku dikejutkan untuk bangun sahur. Perkgh. Baru darjah 2, selagi belum cukup 9 jam tidur, mana boleh bangun pagi-pagi buta. Lain lah kalau bangun sebab nak menonton rancangan TV seperti Alam Ria Cuti Sekolah.

Perjalanan dari katil ke meja makan yang hanya lebih kurang dalam 15 langkah dah rasa macam 15 kilometer. Meja kerusi yang berada di tengah jalan habis semua kena langgar. Dah sampai atas meja makan tu, letak la lauk rusa ke, kepala kambing ke, hati kijang ke, semua tak boleh pegi. Selera memang tak mari. Kalau lauk ikan yang banyak tulang tu ja memang aku terus cabut. Mata duk pejam mana boleh carik tulang.

Siang harinya, di sekolah, aku rasa lebih yakin dan konfiden. Member-member semua sibuk saling bertanya, “Hah! Puasa tak?”

Steady ja aku jawab “Puasa la”. Budak-budak tak puasa selalunya down sikit. Banyak diam saja.

Di sekolah, masa tu, pantang nampak member terkorek hidung, “Haa. Batal puasa.” Nampak member tergigit pensel terus pandai-pandai keluar fatwa, “Abis laa…Batal puasa ko!” Siap ada yang naik risau pasal batalkan puasa sampai berkelahi-kelahi.

Masuk waktu rehat, dah tak ada dah aktiviti lari-lari tak tentu hala. Dah tak ada dah nak main pegang-pegang tiang ke, main ting-ting ke. Cuma yang tinggal ada la sikit budak-budak India yang sibuk main gelongsor bukit.

Aku pula, time rehat selalunya aku akan berehat di perpustakaan. Sebenarnya bukan berehat sangat pun. Sepatutnya di dalam kelas masa tu ada sesi mengaji. Disebabkan mengaji aku bersepah, aku pecut ke perpustakaan. Mana boleh makwe-makwe sekelas dengar aku mengaji bersepah macam tu. Dan alasan yang paling penting, aku tak sanggup kena tarik ‘sekben’ pasal mengaji bersepah.

Habis je sesi persekolahan, peh, dia punya letih pun datang secara mendadak. Tambah pula dengan cuaca panas. Ustaz aku cakap, Ramadhan ni memang maksudnya panas membakar. Tu pasal jarang-jarang hujan dalam bulan Ramadhan ni. Biasanya time camni aku akan bentang tilam, baring dan pasang kipas speed 3, tala ke muka. Sambil tu, mata ni tengok-tengok jam. Bukan main lambat jam ni bergerak. Jam dah tak jadi macam jam. Dia dah jadi macam jambangan bunga. Ada juga tergerak hati nak buka peti ais. Tapi terhalang sebab saingan puasa aku 3 penjuru. Nampak dek akak dengan adik aku – habis la miss seringgit. Masing-masing nak jadi juara.   

Masuk pukul 5-6 petang, masa ni badan dah fit sikit. Masa ni kat dapur tengah rancak. Mak aku time ni tengah sibuk cuit sana, cuit sini, kacau sana, kacau sini. Bayangan nikmat berbuka dah mula menusuk. Buka tudung saji – dah macam-macam bentuk, bau dan warna mula menerjah. Tambah lagi dengan kuih-kuih dari bazaar Ramadhan. Cuma karipap je yang bapak aku tak beli pasal mak aku sendiri memang champion buat karipap. Kalau beli jugak nanti mesti banyak kompelin. Tak sedaplah, tak empuklah, inti sikitlah, tak rasa apalah. Habis kuat pun bapak aku angkat murtabak dengan air sedap saja. Aku masa tu dah naik hairan, kenapa bila bulan puasa murtabak menjadi benda paling kencang dan paling solid untuk masuk mulut time berbuka puasa. Kehairanan itu kadang-kadang semakin menjadi-jadi apabila membabitkan terma ‘Ramadhan al-Mubarak’.

2-3 minit nak dekat berbuka, aku sepantas kilat dah ready di meja makan. Air dah siap tuang. Masa tu awal-awal dah sambar gelas besar. Kalau ada air buah, aku dah isi banyak-banyak dulu buah di dalam gelas. Lepas tu, diam saja duduk di atas kerusi. Sambil tu mata merenung tajam kepada juadah berbuka puasa di atas meja.

Radio dah bunyi lagu berbuka puasa yang ala-ala ghazal padang pasir tu. Dengar saja azan di dalam radio – kucar kacir minum air, sambar kuih, sambar murtabak, sambar sana, sambar sini. Peh, dia punya nikmat berbuka puasa memang tak boleh nak terjemah dengan kata-kata. Dalam dua bentuk saja yang boleh: sama ada karate murtabak atau rembat kuih bola bintik-bintik.

Akhirnya pada Ramadhan tahun itu, aku telah berjaya membabitkan diri dalam arena puasa. Sambut Hari Raya pun bertambah seronok. Seperti yang dijanjikan, aku mendapat ganjaran berpuasa yang dijanjikan oleh bapak aku. Akak aku yang darjah 4 dapat la dalam RM 27-28 macam tu. Adik aku yang tengah tadika plak dapat lebih kurang akak aku jugak.


Aku dapat la dalam RM 8. Amacam?