Tara!! Tara!! Tarawih!!

“Malam ni mesti buat 20. Takde 8 lagi dah. Tak kira apa yang jadi, mesti 20. Mesti!!” dengus Sopi dalam hati, penuh berkobar-kobar.

Malam-malam yang sebelumnya Sopi tak boleh nak buat Terawih 20 rakaat. Time nak semayang tu ada je benda mengganggu. Kadang-kadang memori final report Sopi yang tak siap lagi akan mengganggu tatkala Sopi sedang khusyuk bertarawih. Bila final report dah siap, hal nak beli CD untuk burn report pula bermain dalam fikiran. Bila report dah siap dihantar balik ke UTP, Sopi teringat pulak lebihan kuih bingkang yang dibelinya di bazaar waktu berbuka puasa. Semua benda-benda ni asyik menghalang Sopi daripada melengkapkan 20 rakaat terawih.

Tapi malam ni semangat Sopi lain. Kata orang, Sopi dah naik sheikh. Juadah berbuka pun dibeli yang biasa-biasa sahaja. Tak ada yang sedap sangat supaya time Terawih nanti Sopi tak akan ingat makanan. Pada malam ni jugak, Sopi pegi terawih pakai jersi Arsenal. Kata Sopi, dia memang suka pakai jersi Arsenal dalam hal-hal spiritual dan kerohanian ni. Penuh keberkatan. Kata Sopi lagi, kalau dia pegi pasar dia akan pakai baju Celsi pasal baju Celsi ni sesuai dengan bau ikan dan sayur. Kalau Sopi cuci longkang dan tandas, dia akan pakai jersi Mencester United plak. Pasal apa Sopi pakai jersi Mencester tu tak payah la nak cerita kat sini.

Tepat pukul 8.50 moto Sopi dah elok di parking hadapan masjid. Mengikut research yang dibuat Sopi sebelum pergi ke masjid, imam pada malam ni kelajuannya sedap-sedap badan. Kiranya, tak terlalu perlahan dan juga tak terlalu laju. Kata orang putih, just nice. Dengan pantas Sopi mengorak langkah ke saf hadapan. “Alhamdulillah, masih ada kosong lagi,” kata Sopi perlahan.

Solat Isya’ bermula. Sopi mengangkat takbir dengan penuh konfiden, hanya dengan sekali lafaz sahaja. Bacaan imam pula sedikit perlahan, tidak ‘just nice’ seperti yang disangka.

“Tok imam baru nak warming up ni. Memang la slow sikit. Takpe, sabar,” kata Sopi sekali lagi dalam hati. Time tengah semayang kalau nak berkata-kata kena dalam hati, kalau tak batal.

Walaupun bacaan tok imam tak berapa nice, tapi beliau berjaya juga mengimamkan Solat Isya’ dengan penuh steady. Kini giliran tok bilal pula untuk berselawat.

“Allahumma Solli ‘Ala Muhammad” sahut tok bilal.

“Sollallahu Wasallamu Alaih” balas jemaah sekalian.

“Lembu Pak Dolah kene semelihhhh” balas kanak-kanak dibelakang sambil tergelak mengekek-kekek.

Selepas tok bilal member peringatan kepada kanak-kanak dibelakang supaya jangan bermain di dalam masjid, Solat Terawih pun dimulakan. Kali ni, jangkaan Sopi mula nampak benar. Kelajuan bacaan tok imam sudah mula bertambah sedikit demi sedikit. Yang menjadi masalah sekarang adalah makmum yang berterawih di sebelah Sopi. Mengikut kiraan rambang Sopi dah 7 kali makmum ni angkat takbir tapi feel tak dapat-dapat lagi. Sopi dah mula rasa nak pelempang makmum sebelah. Khusyuknya juga sudah lari entah ke mana gara-gara makmum sebelahnya itu.

Tapi Sopi masih teguh. Teguh umpama pantai yang tenang walaupun dihempas jutaan ombak. Hal makmum sebelah angkat takbir 7-8 kali berjaya dihandle dengan penuh ketenangan. Khusyuknya datang kembali perlahan-lahan. Set pertama solat Terawih berjaya dihabiskan dengan sempurna. 9 set bersamaan 18 rakaat lagi bakal menyusul.

“I can do it!!” jerit Sopi sekali lagi dalam hati sambil mengenggam penumbuk.

Set ke-2 solat Terawih bersambung. Bacaan tok imam pula semakin steady. Dah macam kereta Kancil pasang turbo masuk highway. Cuma masalah makmum angkat takbir 7-8 kali ni je yang tak abis-abis. Tapi macam biasa, Sopi dapat harungi masalah ni. Set ke-2 Terawih ni nampak macam akan berjalan lancar sekali lagi. Sehingga sampai ke tahiyat akhir.

“Burppppp,” makmum sebelah Sopi sendawa.

“Celaka!! Bau murtabak!!” Sopi mencarut dalam hati.

Habis tok imam bagi salam, Sopi dengan pantas melangkah keluar masjid dan terus menghidupkan enjin moto. Sambil Sopi cuba untuk menghidupkan moto, dia berkata, “Kalau makmum tadi tu ialah syaitan, nescaya dia ialah syaitan yang power kerana mampu membunuh semangat aku hanya dengan sendawanya yang berbau murtabak.”

Malam tu Sopi hanya buat 4 rakaat. 4 rakaat lagi mungkin Sopi akan sambung di rumah nanti.