Bibir Naga

HLE Sdn. Bhd ataupun nama panjangnya Hup Lek Engineering adalah kontraktor yang telah dipertanggungjawabkan untuk membina dan memasang alat-alatan “Quality Check” dan juga wiring untuk kilang XYX. Setakat yang gua perhati selama ni, pekerja syarikat HLE ini semuanya orang Indonesia. Cuma mandurnya yang seramai 3 orang sahaja yang berbangsa Tionghua.

Dalam 3 orang ni, yang paling gua gerun adalah Long Pei Seng ataupun lebih senang gua panggil sebagai Ah Seng. Ah Seng amat digeruni terutama sekali oleh pekerjanya kerana ketegasannya yang melampau. Pernah sekali gua nampak Ah Seng lempang sorang Indon yang sedang khusyuk membancuh simen kerana tidak memakai kasut but keselamatan ketika bertugas. Ah Seng juga cukup benci dengan lagu-lagu Indonesia. Kalau dia dengar mana-mana pekerjanya menyanyikan lagu Indonesia sewaktu bekerja, dengan pantas Ah Seng akan menyuruh pekerjanya itu berdiri atas kerusi sambil menyanyikan lagu Negaraku. Oleh sebab itu, kebanyakan pekerja syarikat HLE semuanya layan lagu Andy Lau dan juga Aaron Kwok.

Ah Seng juga tergolong dalam kategori lelaki yang berbadan sasa. Badannya dipenuhi dengan pelbagai ketul-ketul. Bila gua cakap ketul-ketul, gua maksudkan ketul-ketul yang sebenar, bukan ketul-ketul jerawat seperti yang terdapat pada badan Khairul Anwar. Tapi, papehal pun, gua gerun dengan Ah Seng bukan kerana ketul-ketulnya. Setakat ketul-ketul tu gua pun ada banyak. Faktor utama yang membuatkan gua gerun dengan Ah Seng adalah tatu naga yang terdapat di kedua belah bisep Ah Seng.

Gua dan Zani pernah bersembang dengan Ah Seng mengenai tatu naganya itu yang mampu membuatkan bayi kecil menangis ketakutan. Bagi gua, tatu naga Ah Seng itu cukup ganas dan cool sehingga membuatkan gua berkira-kira, seadanya pada masa hadapan ada tatu yang tidak menghalang laluan air ketika mandi wajib, gua konfem akan memilih corak tatu naga Ah Seng untuk ditatukan pada bisep gua. Ah Seng cakap tatu naga tu adalah tatu yang diturunkan kepadanya sejak zaman nenek moyangnya lagi. Kata Ah Seng lagi nama keluarganya iaitu Long juga bermaksud naga.

Gua dan Zani tanya lagi, kenapa mesti naga? Kenapa tidak harimau? Kenapa bukan singa? Binatang-binatang tersebut juga cukup ganas dan cool. Ah Seng hanya ketawa kecil mendengar soalan gua dan Zani. Ah Seng meneruskan penceritaannya. Katanya, beratus-ratus tahun dahulu, sewaktu zaman Dinasti Qing, seorang wanita cantik telah memetik cendawan ajaib di hutan yang cukup berbahaya. Ketika wanita tersebut sedang ghairah memetik cendawan, tanpa disedari, wanita tersebut telah masuk ke kawasan seekor naga jantan. Nak dijadikan cerita, pada zaman itu, naga betina telahpun diancam kepupusan akibat pencairan ais di kutub utara. Ini membuatkan naga jantan itu berasa gersang kerana ketiadaan teman untuk mengawan.

Jadi apabila naga jantan itu ternampak wanita cantik itu, secara tiba-tiba naga jantan itu menjadi ‘horny’. Lalu naga jantan itu pun menggunakan kuasa ajaibnya untuk bertransformasi menjadi seorang lelaki tampan lalu berkahwin dengan wanita cantik itu. Hasil daripada perkahwinan itu, lahir anak-anak yang berkuasa serta gagah perkasa. Maklumlah, anak naga. Dan anak-anak hasil daripada persetubuhan naga jantan dan wanita cantik inilah yang kemudiannya membentuk keluarga Long.

Melopong jugak gua bila dengar cerita Ah Seng. Patut la gerun semacam gua tengok. Keturunan naga rupanya. Zani pun gua tengok melopong sama. Masing-masing gerun dengan Ah Seng.

Habis je Ah Seng cerita, tiba-tiba enset Ah Seng berbunyi. Ringtonenya agak familiar di telinga gua. Ni lagu yang Khairul Anwar selalu pasang di laptopnya dulu.

“Wo u woo u woo u wooh”

****

Gua sama Zani tahan gelak. Gila babi punya tahan. Celaka apa tatu sikit punya ganas sekali enset pakai ringtone Justin Bibir?